Bahan Rujukan

CERITA RAKYAT



Baldi Bergerak

Pada suatu tengah hari, Sajidah keluar ke halaman rumahnya. Dia mahu berehat di atas buaian yang terletak di bawah sebatang pokok.
Sajidah berehat sambil membaca buku cerita.
      Di tepi buaian itu terdapat sebuah baldi. Baldi itu terungkup di atas tanah. Baldi itu selalu digunakan oleh ibunya untuk menyiram pokok bunga.
Tiba-tiba Sajidah sangat terkejut.
      Baldi di tepi buaian itu bergerak-gerak. Baldi itu bergerak ke hadapan dan ke belakang. Kemudian, baldi itu terus bergerak lagi ke hadapan.
Kemudian, baldi itu terus bergerak pula menuju ke arah Sajidah.Apalagi! Sajidah terus melompat turun dari buaian. Dia menjerit-jerit ketakutan sambil berlari masuk ke dalam rumah.
      "Tolong! Tolong!" Sajidah menjerit.
      Bapa dan ibunya menerpa keluar.
      "Kenapa?" bapanya bertanya.
      "Baldi bergerak!" Sajidah memberitahu bapa dan ibunya. Dia masih ketakutan.
      "Baldi bergerak?" bapanya berasa sangat hairan. Ibunya juga turut berasa hairan. Bapa dan ibu Sajidah terus pergi ke tempat buaian itu. Mereka melihat baldi itu memang sedang bergerak ke sana sini.
      "Sungguh pelik! Bagaimana baldi ini boleh bergerak?" tanya ibu Sajidah. Dia juga turut berasa takut. Bapa Sajidah terus mengangkat baldi itu.
Rupa-rupanya di bawah baldi itu terdapat seekor anak kucing. Bapa Sajidah ketawa berdekah-dekah. Sajidah dan ibunya turut tertawa.
      Peristiwa itu sangat menggelikan hati mereka.

********************************************************************


Comel Dikejar Hantu



       Kiti mempunyai tiga ekor anak. Anak-anaknya bernama Comel, Cantik, dan Cindai.
      Pada suatu hari, Comel ingin bermain di luar rumah. "Ibu, bolehkah saya keluar untuk bermain-main?" Comel bertanya pada ibunya.
      "Ya, pergilah! Kamu sudah besar dan sihat. Kamu boleh pergi bermain-main," kata ibunya.  Comel sangat gembira. Comel mengajak Cantik dan Cindai keluar bermain bersama-sama dengannya. Tetapi Cantik dan Cindai tidak mahu keluar bermain. Mereka mahu tidur. Comel terpaksa keluar sendirian.
      Ketika itu, hari sudah tengah hari. Comel terkejut melihat bayang-bayang. Comel belum pernah melihat bayang-bayang. Ke mana sahaja Comel bergerak, bayang-bayang itu mengikutinya. Comel sangat takut.
      "Hantu! Hantu!" Comel menjerit. Comel segera melarikan diri. Bayang-bayang itu mengikutinya. "Tolong! Tolong! Hantu mengejar saya," Comel menjerit-jerit sambil berlari.
      "Ibu, saya dikejar oleh hantu!" Comel memberitahu ibunya. Comel sangat ketakutan.
      Ibunya ketawa. "Itu bukanlah hantu! Itu ialah bayang-bayang," kata ibunya. Comel terdiam mendengar kata-kata ibunya itu.
      Keesokan harinya, Comel keluar lagi. Comel tidak takut pada bayang-bayangnya lagi. Comel gembira dapat bermain-main di luar rumah.

************************************************************************

Monyet Mencuri Songkok


Pada suatu hari, seorang penjual songkok pergi ke sebuah kampung. Dia ingin berniaga songkok di kampung itu.
      Setelah penat berjalan, penjual songkok itu berehat di bawah sebatang pokok. Akhirnya, dia tertidur.  
 Di atas pokok itu terdapat sekumpulan monyet. Apabila mendapati penjual songkok sudah tertidur, semua monyet itu turun ke tanah.
      Kumpulan monyet itu mencuri semua songkok tersebut.
Apabila penjual songkok itu terjaga, dia sangat terkejut kerana semua songkoknya sudah hilang. Akhirnya, tahulah ia bahawa songkoknya sudah dilarikan oleh monyet.
      Penjual songkok itu menjerit-jerit meminta monyet memulangkan songkoknya. Namun, monyet tidak mempedulikannya.
 Penjual songkok itu sangat marah. Dia mengambil beberapa ketul batu. Dia segera membaling batu itu ke arah monyet.
      Semua monyet itu cuba meniru pula perbuatan tersebut. Monyet lalu membalingkan semua songkok.
 Penjual songkok itu sangat gembira. Dia berjaya mendapatkan semua songkoknya semula.


*********************************************************************
Tikus Bermesyuarat

Di dalam sebuah rumah, tinggal sekumpulan tikus. Semua tikus itu hidup aman dan bahagia. Mereka selalu dapat mencuri makanan.
      Mereka tidak pernah berasa risau tentang makanan. Mereka selalu dapat makan sehingga kenyang.
      Pada suatu hari, tuan rumah itu membawa  pulang seekor kucing. Kucing itu besar dan  garang. Tuan rumah itu memelihara kucing tersebut.
      Semua tikus berasa sangat susah hati. Mereka takut pada kucing itu. Mereka tidak bebas mencari makanan seperti dahulu lagi.
  Pada suatu hari, semua tikus itu bermesyuarat. Salah seekor tikus berkata, "Kita gantungkan loceng pada leher kucing itu."
      Semua tikus bersetuju. Mereka sangat gembira dengan cadangan itu.
 "Kalau kucing itu datang, loceng di lehernya akan berbunyi. Kita boleh lari. Kita akan selamat," kata mereka.
      "Tetapi siapakah yang berani pergi gantungkan loceng itu?" tanya seekor tikus lagi.
  Tiada siapa yang berani menjawab soalan itu. Tiada siapa yang berani pergi menggantungkan loceng itu.
      Akhirnya, mereka terpaksa berpindah dari situ.

******************************************************************




No comments:

Post a Comment